Jumaat

Hilangnya Nilai Kesopanan Masyarakat Kini

HAKIKAT yang berlaku dalam sistem komunikasi masyarakat Malaysia menampakkan semakin lunturnya budaya kesantunan yang merangkumi nilai kesopanan, keluhuran, ketertiban, hormat, merendah diri serta penggunaan lagu suara yang baik dan menyenangkan. Kini, nilai kesantunan ketika berbahasa tidak lagi dipelihara dan semakin kurang diberi perhatian.

Penggunaan bahasa yang suka membangga diri, memaki hamun, memfitnah, memprovokasi, mengejek, melecehkan orang lain dan sebagainya kini mengambil tempat yang akhirnya menggambarkan citra dan peribadi bangsa yang negatif. Lebih malang ialah kini indahnya sesebuah bangsa bukan lagi kerana bahasa yang digunakan.

Sedang suatu ketika dulu bangsa Melayu terkenal dengan ciri-ciri ketimuran yang sarat teguh dengan nilai-nilai mulia dan budi pekerti tinggi. Bahasa diangkat sebagai medium yang berperanan menggabung jalin segala aspek pemikiran, kesopanan, keintelektualan dengan budaya masyarakat Melayu ketika itu.

Gambaran yang dilakukan secara realistik oleh tokoh-tokoh bahasa dan kesusasteraan Melayu seperti Zainal Abidin Ahmad (Za’ba), Hamzah Fansuri, Nuruddin Al-Raniri, Syeikh ’Abd Al-Samad dan sebagainya melalui karya-karya mereka ini dengan gahnya mengaspirasi segala semangat, keadaan masyarakat, cara hidup, nilai budaya, cita rasa dan pemikiran masyarakat Melayu kepada dunia luar.

Bangsa Melayu khususnya sedang berhadapan dengan satu fasa kebejatan budi yang memperlihatkan betapa mudahnya keperibadian bangsa dipengaruhi oleh unsur-unsur luar. Keadaan ini berlaku sealiran pula dengan berkembang dan memuncaknya nilai pembangunan material, teknologi yang bercirikan budaya luar.

Secara tidak langsung keadaan ini telah menghakis sedikit demi sedikit nilai-nilai berbudi dan santun yang selama ini menjadi pasak kemegahan budaya dan bangsa. Krisis ini berlaku tidak mengira peringkat umur, status dan pangkat sama ada golongan kanak-kanak, remaja, dewasa bahkan sektor awam yang seharusnya menjunjung etika berbahasa dalam memberi khidmat kepada masyarakat semakin kurang ditekankan.

Apa yang berlaku ialah masyarakat sekadar menyampaikan idea yang ada dalam fikiran sehingga lupa mematuhi norma budaya dan tatacara komunikasi verbal yang baik dan sopan. Kesannya, segala nilai negatif seperti sombong, angkuh, bersikap tidak acuh, ego, tidak beradat bahkan kurang ajar berlaku yang boleh membantutkan kelancaran komunikasi.

Begitu juga halnya dengan bahasa yang digunakan oleh media khususnya saluran radio masih menampakkan kegagalan untuk mempraktikkan unsur kesopanan berbahasa dengan baik. Menerusi agenda mempromosikan produk khususnya, media masih gagal mengenal pasti penggunaan kata ganti diri yang tepat. Terdapat iklan mempromosi pakaian yang menggunakan kata ganti diri ‘kamu’ bagi merujuk kepada pendengar sedangkan sudah sedia jelas bahawa pendengar dan media ada jurang yang harus diambil kira, iaitu dari aspek usia, taraf pendidikan dan status gelaran yang secara harfiahnya tidak mempunyai hubungan yang akrab dengan media.

Meskipun kesan kesantunan berbeza-beza mengikut jenis sapaan yang digunakan namun layakkah jika sebahagian pendengar yang terdiri daripada warga emas di‘kamu-kamu’kan sahaja? Kepelbagaian sistem sapaan dalam bahasa Melayu dengan mudah telah menggariskan kepelbagaian fungsi bentuk sapaan yang lebih sesuai dan sopan untuk digunakan bagi menggantikan bentuk sapaan ‘kamu’, iaitu ‘anda’.

Dalam konteks komunikasi verbal dua hala, berlaku juga trend pengucapan yang tanpa disedari sebenarnya boleh menyinggung hati dan perasaan orang lain terutamanya apabila berlaku antara dua peringkat umur yang berbeza. Tentu sekali kita biasa mendengar ungkapan ‘tau tak pe’ yang kini dilihat menjadi kebiasaan pengucapan golongan remaja. Lebih mengecewakan ialah mereka langsung tidak mengetahui negatifnya ungkapan tersebut walaupun bertujuan untuk mengiyakan atau bersetuju dengan pendapat yang dikemukakan. Tingkah laku komunikasi tersebut sebenarnya secara tidak langsung menggambarkan sikap sombong, berlagak, membangga diri serta memperlihatkan penutur lebih tahu akan perkara yang sedang dibincangkan walaupun melibatkan dua peringkat umur yang berbeza.

Untuk menggantikan ungkapan tersebut, difikirkan wajar menggunakan ungkapan persetujuan yang menunjukkan kerendahan diri, berbudi dan hormat seperti ‘ye, betul tu’, ‘saya setuju’ dan sebagainya. Kelemahan dan ketidakarifan ini akhirnya akan memperlihatkan kurang pekanya masyarakat kita untuk menghalusi nilai kesopanan berbahasa dengan baik.

Selain untuk menggambarkan sahsiah bangsa, kesantunan berbahasa bertujuan untuk melancarkan komunikasi sosial. Akan tetapi, berlakunya krisis kesantunan berbahasa ini sebenarnya tiada lain akibat pengaruh persekitaran, lakonan masyarakat kita sendiri selain pengaruh media yang dilihat amat mudah mempengaruhi perilaku berbahasa anak-anak muda.

Bahasa orang Melayu terus menerus menjadi layu. Tidak kira sama ada dituturkan kepada sesama rakan sebaya atau yang lebih berusia, penggunaan kata ganti nama diri yang sopan dan lebih manis seperti awak, anda, saudara, encik, tuan dan sebagainya telah digantikan dengan panggilan ringkas seperti ‘lu’, ‘gua’, ‘bro’, ‘beb’ dan banyak lagi. Keadaan ini seolah-olah menggambarkan kepada kita bahawa penerimaan masyarakat secara membabi buta ini secara halusnya telah menidakkan keupayaan bahasa ibunda sebagai kayu ukur yang menentukan tingginya martabat bangsa. Ditakuti apabila bahasa ibunda dicacamarbakan maka budaya, nilai dan corak pemikiran tidak lagi mampu dicorakkan oleh bangsanya sendiri.

Seringkali juga kita berhadapan dengan situasi tiadanya kesedaran mengutamakan soal hormat dan ketertiban terutamanya dalam kalangan remaja dengan cara mengucapkan salam sapaan tanda hormat sebelum memulakan bicara khususnya dalam situasi tidak formal.

Tidak dinafikan bahawa komunikasi tidak formal tidak terikat kepada peraturan linguistik, yang dipentingkan ialah keselesaan dan kesalingfahaman (cooperative principle) pendengar. Akan tetapi, dalam konteks berbahasa tentu sekali menyakitkan hati apabila ada remaja yang berhajatkan sesuatu kepada kita tidak langsung mengucapkan salam terlebih dahulu. Di mana silapnya sedangkan di peringkat sekolah rendah lagi pendedahan sivik dan pengetahuan sosiolinguistik telah diterapkan agar memberi manfaat kepada pelajar untuk disesuaikan dengan masyarakat luar kelak.

Oleh yang demikian, gelombang perubahan untuk menjunjung kembali nilai kesopanan berbahasa perlu dilaksanakan segera. Tibalah masanya untuk semua pihak terutamanya ibu bapa dan institusi pendidikan sama ada di peringkat sekolah atau universiti memberikan penekanan yang total terhadap aspek kesantunan dalam proses belajar dan mengajarkan bahasa yang seharusnya dilakukan secara bersepadu dan kolektif.

Penekanan terhadap beberapa aspek seperti apa yang sebaiknya dikatakan pada waktu dan dalam keadaan tertentu, penggunaan ragam Bahasa yang bersesuaian dengan situasi, mengambil kira bagaimana dan bila kita harus menunggu giliran untuk bercakap atau mencelah, mengetahui kenyaringan suara yang sesuai digunakan ketika berbicara, mengetahui bagaimana sikap dan gerak geri badan yang bersesuaian ketika berbicara dan akhir sekali ialah bila masanya kita harus diam dan mengakhiri sesuatu perbicaraan juga menjadi komponen yang tidak kurang pentingnya dalam objektif kita mewujudkan gaya hidup yang sempurna dan penuh dengan nilai kesantunan agar keperibadian bangsa yang luhur, dihormati dan disegani dapat dikekalkan.


Tiada ulasan: