Pages - Menu

Jumaat

Menangis Dalam Islam


Tuhan menganugerahkan dua biji mata kepada manusia untuk menikmati keindahan ciptaan dan melihat semua kebaikan yang telah diberikan. Di sebalik kenikmatan yang dilihat, terkadang itu manusia tidak dapat lari dari memandang keperitan dan seksaan di dunia hingga mampu mengeluarkan air mata.

Namun, menangis itu merupakan anugerah dan terapi yang berkesan menurut agama Islam dan kajian perubatan.

Telah bersabda Rasulullah SAW, “Ya Allah, anugerahilah kepada kami dua buah mata yang menangis kerana takut kepada-Mu, sebelum tidak ditemunya air mata.”

Menangis itu merupakan pelajaran terpenting dalam Islam sebagai Muslim untuk bermuhasabah diri dan mengingatkan diri dengan segala seksaan yang Allah turunkan. Maka bagi setiap diri yang bergelar hamba, wajarlah bagi kita semua meluangkan waktu untuk menangis. Jikalau belum mampu untuk menangis, belajarlah untuk menangis, atau bermulalah dengan berpura-pura menangis.

Dalam islam ia tidak dinafikan, para Nabi dan Rasul serta para sahabat di zaman mereka sering menjadikan tangisan sebagai perhiasan dalam solat-solat, doa-doa dan zikir-zikir mereka kerana takutkan kepada Allah SWT.

Telah diriwayatkan dalam hadis, ”Barangsiapa yang menangis kerana takutkan Allah sehingga berlinangan air matanya dan air matanya membasahi tanah maka dia tidak akan diazab pada hari kiamat.”

Dari segi amalan perubatan, menangis itu dapat menyahkan zat berbahaya dari tubuh badan. Zat-zat kimia yang dihasilkan oleh tubuh ketika dalam ketakutan boleh disingkirkan melalui tangisan.

Menangis juga akan meningkatkan kadar degupan jantung. Degupan jantung akan meningkat ketika menangis dan ia dianggap sebagai latihan yang berguna bagi rongga badan, urat-urat dada dan kedua-dua belah bahu. Selepas menangis, kadar degupan jantung kembali perlahan sehingga menimbulkan perasaan yang sangat tenang.

Selain itu, tangisan akan menghalang penyakit menyerang tubuh badan kita. Universiti Temple dari Amerika Syarikat telah mengkaji 100 orang yang menghidap penyakit radang usus besar dan luka pada perut dan 100 orang yang sihat.

Mereka mendapat jawapan yang agak mengejutkan. Hampir semua pesakit yang menghidapi penyakit tersebut mengatakan bahawa menangis adalah tanda lemahnya peribadi, maka mereka memilih untuk memendam rasa hati mereka. Manakala bagi mereka yang tidak menghidap sebarang penyakit mengatakan menangis adalah sesuatu yang semula jadi dilakukan pada waktu dan tujuan yang sesuai.

Tidak ramai yang mengetahui, air mata mengandungi 25% protein. Kajian-kajian yang dijalankan oleh para saintis membuktikan bahawa air mata mengandungi 25% protein dan satu bahagian daripada zat terutamanya magnesium. Ini adalah unsur yang tidak seimbang dan boleh menjadi racun kepada manusia. Ia dapat dibebaskan daripada manusia ketika menangis.

Oleh itu, tidak salah untuk manusia menggunakan tangisan sebagai salah satu cara untuk menghadapi sesuatu perkara tidak kiralah perkara yang sedih mahu pun gembira. Seharusnya kita menggunakan anugerah yang Tuhan berikan supaya dapat memberikan kebaikan kepada diri kita. Insyallah,islam itu indah.

Sumber : mynewshub.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan